Thursday, May 26, 2011

Senarai Yang Di-Pertuan Agung Malaysia


DYMM Yang DiPertuan Agongyang Ke-13
Yang Dipertuan Agong

Parlimen Persekutuan mengandungi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, dan dua Dewan iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Perkara 55, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa hanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sahaja yang boleh memanggil Parlimen untuk bersidang. Baginda juga mempunyai kuasa istimewa untuk memberhenti atau membubarkan Parlimen.
Dengan demikian Yang di-Pertuan Agong diperlukan oleh Perlembagaan untuk memanggil Parlimen bermesyuarat dalam masa enam bulan antara persidangan yang akhir dalam satu penggal yang kemudiannya.
Bagi Dewan Rakyat, Ketua atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menetapkan sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap penggal, tarikh-tarikh majlis akan bermesyuarat dalam penggal itu. Walau bagaimanapun , Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan itu dari masa ke semasa.
Parlimen Persekutuan merupakan badan perundangan yang tertinggi di Malaysia. Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu. Parlimen akan terus berjalan selama lima tahun, dari tarikh mesyuarat pertamanya selepas Pilihanraya Umum.
Pada penghujung tempoh lima tahun ini, Parlimen dengan sendirinya dibubarkan dan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran Parlimen, Pilihanraya Umum bagi memilih wakil-wakil untuk Dewan Rakyat hendaklah diadakan, dan Parlimen dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh pembubarannya.


Pada hari ini dalam tahun 1957 tepat pada jam 10 pagi dengan diiringi oleh tembakan meriam 21 das dan paluan nobat serta gendang perang selama kira-kira 15 minit, DYMM Seri Paduka Tuanku Sir Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah ditabalkan dengan rasminya sebagai Yang di-Pertuan Agong Persekutuan Tanah Melayu yang Pertama.
Istiadat pertabalan yang gilang-gemilang dan memakan masa kira-kira satu jam 15 minit di Balai Rong Seri Istana Negara itu telah dihadiri oleh lebih dari 500 orang jemputan utama dan khas, termasuk Raja-raja Melayu Persekutuan Tanah Melayu dan Sultan Brunei, Gabenor Melaka dan Pulau Pinang, Perdana Menteri, YTM Tunku Abdul Rahman Putra dan para Menteri Kabinet, tetamu-tetamu istimewa dari dalam dan luar negeri termasuk Duke of Gloucester yang mewakili Baginda Queen.
Istiadat pertabalan ini telah dimulakan dengan keberangkatan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dengan diiringi oleh Datuk Paduka Maharajalela Tuan Haji Mustapha Albakri, juruiring-juruiring Baginda dan panglima-panglima Baginda itu berarak dalam enam susunan, iaitu yang pertama cogan alam di sebelah kanan dan cogan agama di sebelah kiri. Barisan kedua terdiri dari panglima-panglima membawa pedang di sebelah kanan satu dan kiri satu. Barisan ketiga terdiri dari panglima-panglima membawa keris panjang di sebelah kanan dan kiri. Barisan keempat terdiri dari panglima-panglima yang membawa cokmar di sebelah kanan dan kiri. Barisan kelima terdiri dari panglima-panglima yang membawa sundang sebelah kanan dan kiri dan barisan keenam terdiri dari panglima-panglima yang membawa tombak berambu di sebelah kanan satu dan di sebelah kiri satu.
DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja Permaisuri Agong yang memakai pakaian rasmi berwarna hijau muda disulam dengan benang mas telah diiringi hingga ke singahsana tempat bersemayam. Datuk Paduka Maharajalela kemudian telah membawa masuk sebuah Al-Ouran, sebilah keris panjang Diraja, Surat Perisytiharan dan Surat Sumpah kepada Yang di-Pertuan Agong. Setelah menerima keris panjang Diraja itu, Yang di-Pertuan Agong kemudian menghunus keris tersebut dan menciumnya sekali. Kira-kira tiga minit kemudian, Yang di-Pertuan Agong telah membaca Surat Sumpah. Setelah selesai baginda membacanya maka Datuk Paduka Maharajalela pun menyeru "DAULAT" tiga kali berturut-turut dan ini telah disambut oleh sekalian yang hadir. Seruan ini diiringi dengan pukulan nobat tanda "Raja Bertabal". Istiadat ini ditamatkan dengan doa selamat.
Pada hari ini dalam tahun 1957 DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Persekutuan Tanah Melayu yang pertama Tuanku Sir Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhamad telah melafazkan:
"Kami Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan Tanah Melayu bersumpah dengan melafazkan, WaAllah, Wabillah, Watawallah maka dengan lafaz ini berikrarlah kami dengan sesungguh dan sebenarnya mengaku pemerintahan bagi Persekutuan Tanah Melayu dengan mengikut  sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan negeri yang telah disah dan dimasyhurkan di masa depan ini. Dan lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setlap masa Agama Islam dan berdiri tetap diatas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri."2
Surat pengisytiharan pertabalan Yang di-Pertuan Agong pun dibaca oleh Tuan Haji Mustapha Albakri, Datuk Paduka Maharajalela yang juga menjadi Penyimpan Mohor Raja-raja Melayu Persekutuan Tanah Melayu;
"Bahawa inilah dimasyhurkan dan dimaklumkan kepada sekalian warganegara serta isi negeri Persekutuan Tanah Melayu ini iaitu DYMM Raja-raja Melayu telah melantik DYMM Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Sultan Muhammad, Yang di-Pertuan Besar bagi Negeri Sembilan, menjadi Yang di-Pertuan Agong dan pada hari, waktu dan saat gemilang ini maka Seri Paduka Baginda itu akan ditabalkan naik takhta Kerajaan menjadi Raja dan Pemerintah bagi Persekutuan Tanah Melayu dengan bergelar DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Allah selamatkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong."

        Seri Paduka Baginda ialah Yang di-Pertuan Agong Kedua yang memerintah dari 14 April 1960 hingga 1 September 1960. Seri Paduka Baginda diputerakan pada 13 Mei 1898 di Selangor dan merupakan putera ketiga DYMM Sultan Sulaiman. Selepas menamatkan pendidikan sekolah rendah di Sekolah Melayu Bandar di Kuala Langat, baginda meneruskan pendidikan sekolah menengah di Maktab Melayu Kuala Kangsar.
Pada tahun 1920 juga, Seri Paduka Baginda Sultan Hisamuddin berkahwin dengan Seri Paduka Baginda Raja Jemaah binti Al-Marhum Raja Ahmad.
Pada tahun 1931, Seri Paduka Baginda diangkat sebagai Tuanku Laksamana, dan menjadi ahli jawatankuasa khas untuk menggubal Majlis Mesyuarat Negeri yang baru.
Seri Paduka Baginda dilantik sebagai Raja Muda pada 20 Julai 1936, dan menjadi Pemangku Raja semasa ayahanda baginda mengadakan lawatan rasmi ke United Kingdom. Apabila DYMM Sultan Sulaiman mangkat pada tahun 1937, Seri Paduka Baginda Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Al-Marhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah dilantik sebagai Sultan Selangor yang baru. Baginda menaiki takhta secara rasmi pada 26 Januari 1939, berserta DYMM Raja Jemaah binti Al-Marhum Raja Ahmad sebagai Tengku Ampuan.
Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Seri Paduka Baginda telah menjadi tawanan perang sehingga tentera British menduduki semula Tanah Melayu pada 1945. Pada tahun 1952, baginda berangkat menunaikan fardu haji di Mekah. Seri Paduka Baginda juga telah menghadiahkan kediaman persendirian baginda, Istana Jamaiah di Klang untuk digunakan sebagai Kolej Islam yang pertama di Tanah Melayu.
Baginda dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1957 apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Baginda memulakan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong apabila Seri Paduka Baginda Tuanku Abdul Rahman mangkat.

Pada hari ini dalam tahun 1961, DYMM  Raja Perlis, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang  di-Pertuan Agong Ketiga bagi Persekutuan Tanah Melayu. Upacara kebesaran ini yang dihadiri oleh semua Raja-Raja Melayu dari Persekutuan Tanah Melayu serta Gabenor-gabenor Pulau Pinang dan Melaka, berlangsung di dalam penuh  istiadat lama dan baru, di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. 
Tepat pada jam 10.55 pagi nafiri ditiup menandakan keberangkatan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong hendak masuk ke Balai Rong Seri. Nobat pun dipalu lagu "Raja Berangkat" sebaik-baik saja kedua-dua Baginda masuk ke Balai Rong Seri dengan diiringi di sebelah hadapan oleh Dato' Paduka Maharaja Lela dan panglima-panglima yang membawa cogan aluan dan cogan ugama dan di sebelah belakang oleh juruiring-juruiring baginda dan panglima-panglima yang membawa alatan-alatan kebesaran diraja, iaitu pedang, keris, cokmar, sudang dan tombak berambu. Setelah Baginda berdua bersemayam di atas singgahsana, Dato' Paduka Maharalela pun meninggalkan Balai Rong Seri dan masuk semula dengan diiringi oleh Sohibul Fadilah Tuan Mufti dan panglima-panglima yang membawa sebuah kitab suci AI-Quran, Keris Panjang Diraja, Surat Perisytiharan dan Surat Sumpah.
YTM Tunku Abdul Rahman Putra, selaku Perdana Menteri kemudian membacakan Surat Perisytiharan bagi pertabalan Seri Paduka Baginda. Setelah sudah, Dato' Paduka Seri Maharajalela pula menyembahkan Keris Panjang Diraja kepada Seri Paduka Baginda, lalu dikucup baginda dan menyarungkannya kembali. Baginda kemudian berangkat turun ke tingkat yang kelima, menerima Surat Sumpah lalu membacanya. Setelah sudah, nobat dipalu lagu "Raja Bertabal" dan diiringi oleh tembakan meriam duapuluh satu das tanda memberi hormat. DYMM Raja yang mewakili Majlis Raja-Raja kemudiannya membacakan ucapan tahniah kepada Baginda Yang di-Pertuan Agong dan diikuti pula oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang menyampaikan tahniah daripada kerajaan dan rakyat Persekutuan Tanah Melayu. Kedua-dua ucapan tahniah itu kemudiannya diserahkan kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Setelah itu baginda membacakan Ucapan Diraja. Setelah sudah, nobat dipalu lagu "Genderang Perang" dan diiringi kemudiannya dengan tiupan nafiri menandakan Tuan Mufti akan membaca doa selamat. Setelah doa dibacakan, nafiri ditiup sekali lagi dan Baginda Yang di-Pertuan Agong beserta Raja Permaisuri Agong berangkat meninggalkan Singgahsana dengan diiringi paluan nobat lagu "Raja Berangkat". Upacara beristiadat pun selesai.
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Putra Jamalullail adalah Raja Negeri Perlis yang kelima. Baginda ialah Putera kepada Almarhum Tuan Syed Hassan Jamalullail dengan isterinya Almarhumah Puan Wan Teh binti Endut. Diputerakan pada 25 November 1920, baginda ialah susunan yang ketujuh daripada Almarhum Tuan Syed Harun Jamalullail Ibni Almarhum Tuan Syed Ahmad, yang berkediaman di Alor Star, Kedah dan kemudiannya menjadi Penghulu di Arau, Perlis.

Baginda menerima pelajaran dari sekolah Melayu di Arau dan kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Inggeris, iaitu di Penang Free School. Pada 4 April 1938, Baginda dilantik menjadi Bakal Raja Perlis menggantikan ayahanda baginda.  Dalam tahun 1939 Baginda berangkat balik dari Pulau Pinang ke Perlis dan menerima latihan sebagai Bakal Raja. Mula-mula Baginda menerima latihan selama 4 bulan di Mahkamah Rendah Kangar dalam tahun 1940. Kemudian Baginda dihantar berlatih undang-undang tempatan di Pejabat Tanah, Kuala Lumpur selama setahun; setelah itu ditempatkan pula di Mahkamah Pengadil, Kuala Lumpur sehingga pecah perang Dunia Kedua pada akhir tahun 1941. Pada tahun itu juga Baginda telah berkahwin dengan Tengku Budriah binti AI-Marhum Tengku Ismail, cucucunda bekas Raja Negeri Petani yang berkeluarga rapat dengan DYMM Sultan Kelantan.
Pada 4 Disember 1945, Baginda dilantik menjadi Raja Negeri Perlis dan ditabalkan pada 12 Mac 1949. Pada 21 September 1960, Baginda telah dipilih oleh Majlis Raja-Raja Melayu menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang Ketiga dan ditabalkan dalam satu istiadat yang gilang-gemilang pada hari ini dalam tahun 1961. Apabila lahir Malaysia pada 16 September 1963, Baginda menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang pertama. 
Seri Paduka Baginda Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, Yang di-Pertuan Agong Keempat, yang memerintah dari 21 September 1965 hingga 20 September 1970, telah diputerakan di Kuala Terengganu pada 24 Januari 1907. Baginda ialah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu yang ke-14 dan memerintah selama 34 tahun dan 1945 hingga 1979.
Baginda memperoleh pendidikan awal di sebuah sekolah Melayu di Terengganu. Kemudian baginda meneruskan pendidikan sekolah menengah di Maktab Melayu Kuala Kangsar. Pada tahun 1925 ketika berusia 18 tahun, baginda menjadi Sub-Inspektor Polis dan pada 4 April 1929, baginda dilantik sebagai kadet dalam perkhidmatan Awam Terengganu. Selama lima tahun berikutnya, baginda bertugas sebagai pegawai di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Pada 1 Ogos 1934, baginda dilantik sebagai Penolong Pegawai Tanah. Pada 25 Oktober 1934, baginda dilantik pula sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Baginda ditukarkan ke Mahkamah rayuan pada 4 April 1939 sebagai Timbalan Pendakwa Raya. Kemudian baginda dilantik sebagai Setiausaha Majlis Hal Ehwal Agama Islam.
Baginda menjadi Registrar Mahkamah Agung dan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tanah pada 1 Januari 1940 dan kemudiannya dilantik sebagai Majistret Kelas Satu Terengganu. Pada 15 November 1941, Baginda dilantik bagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Pada 3 April 1944, baginda berkahwin dengan Tuanku Intan Zaharah binti Almarhum Seri Setia Raja di Terengganu dan dikurniakan sembilan orang putera puteri. Putera sulung baginda, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Mahmud Al Muktafi Billahi Shah menjadi Sultan Terengganu yang seterusnya.
Pada 6 Jun 1945 ketika berusia 38 tahun, baginda Tuanku Ismail Nasiruddin Shah telah ditabalkan sebagai Sultan Terengganu di Istana Maziah di Kuala Terengganu.
Pada 21 September 1965, Seri Paduka Baginda Tuanku Ismail Nasiruddin Shah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Keempat. Tuanku Ismail Nasiruddin Shah mangkat sembilan tahun kemudiannya pada 29 September 1979.

Pada 20hb Februari 1971, dengan ikrar untuk menjalankan pemerintahan yang adil dan aman, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah telah ditabalkan menjadi Yang Di Pertuan Agong ke-5. Istiadat pertabalan yang gilang gemilang itu telah dilangsungkan di Balai Rong Seri, Dewan Tunku Abdul Rahman dengan disaksikan oleh Raja-Raja Melayu, Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein, menteri-menteri, wakil-wakil asing dan diikuti oleh seluruh rakyat melalui siaran Televisyen Malaysia.
Terdahulu dari itu, DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dengan penuh tawaduk, telah mengucup keris DiRaja yang berhulu dan bersarung gading di atas singgahsana kebesaran yang terletak di persada tujuh tingkat.
Keberangkatan tiba Seri-Seri Paduka ke Balai Rong Seri didahului oleh Dato Paduka Maharajalela dan Panglima-panglima yang membawa Cogan Alam, Cogan Agama dan diikuti oleh pengiring-pengiring serta panglima yang membawa alat-alat kebesaran Diraja antaranya seperti Pedang, Keris, Cokmar, Sundang dan Tombak Berambu. Nobat dipalu bagi mengiringi keberangkatan DYMM itu.
Ketika baginda berangkat tiba di perkarangan Dewan Tunku Abdul Rahman, Baginda disambut oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein dan Toh Puan Raha. Baginda berangkat ke peterana menerima tabik hormat dan memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada 109 orang Askar Melayu DiRaja yang dipimpin oleh Major Abdul Latif Ahmad.
Baginda kemudian dialu-alukan oleh Menteri-Menteri kabinet dan isteri. Mengimbas kembali riwayat hidup Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah yang pada ketika itu berusia 44 tahun telah diputerakan pada 28hb November 1927 di Alor Setar, Kedah. Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Titi Gajah dan di Maktab Mahmud. Baginda kemudiannya melanjutkan pelajaran di Wadhan College Oxford, United Kingdom dalam jurusan Diploma Sosial dan Pentadbiran Awam selama 2 tahun setengah pada usia 22 tahun.
Apabila kembali ke tanah air, baginda bertugas sebagai Pegawai Daerah Alor Setar dalam tahun 1955. Pada 6hb Ogos 1949, baginda ditabalkan menjadi Raja Muda Kedah. Kemudian baginda menaiki takhta Kerajaan Negeri Kedah pada 14hb Julai 1958 dan ditabalkan pada 20hb Februari 1959. Seterusnya baginda dilantik menjadi Yang Di Pertuan Agong ke-5 pada 21 hb September 1970.



Sultan Kelantan, Sultan Yahya Petra dilantik YDP Agong ke-6. Program ‘Buku Hijau’ di kalangan petani kecil diteruskan dan hasil pertanian mula dieksport. Kelapa sawit muncul sebagai satu daripada punca utama pendapatan Negara dengan pembinaan kilang minyak sawit di pedalaman sementara skim penempatan peneroka dipergiatkan. Hussein Onn menjadi Perdana Menteri ketiga berikutan kematian Abdul Razak dan Dr. Mahathir Mohamad sebagai timbalannya. Rancangan Malaysia ke-3 dilancarkan dengan Dasar Ekonomi Baru sebagai teras. Perebutan kuasa di antara Presiden PAS, Asri Muda dan Menteri Besar Kelantan, Mohd Nasir membawa perpecahan di kalangan anggota PAS, Persaingan kedua pihak mencetus rusuhan hingga darurat terpaksa diisytiharkan di Kelantan. Kakitangan MAS melancarkan megok menuntut kenaikan gaji. Pergolakan politik membawa kepada pengharaman Parti Buruh, perhimpunan awam, penggabungan kesatuan sekerja tempatan dengan badan buruh antarabangsa dan penggunaan lambing ‘bulan-bintang’ oleh parti politik. PAS keluar dari BN dan menukar lambangannya kepada ‘bulan penuh’. BN memenang besar Pilihanraya 1978 termasuk di Kelantan. Dasar Pendidikan Kebangsaan dipertingkatkan dengan pengenalan pelbagai aktiviti ko-kurikulum. Sementara itu, penternakan ikan air tawar digalakkan. Sultan Yahya Petra mengkat dan Sultan Ahmad Shah (Sultan Pahang) ditabalkan sebagai YDP Agong ke-7. Untuk membaiki mutu kehidupan, projek perumahan pinggir Bandar telah giat dilaksanakan.

YDP Agong ke-7
Sultan Haji Ahmad Shah telah diputerakan di Istana Mangga Tunggal di Pekan, Pahang pada 24 Oktober 1930.
Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu di Pekan dan kemudian di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Walau bagaimanapun, pembelajaran baginda terganggu ekoran Perang Dunia II. Sultan Haji Ahmad Shah turut mempelajari bahasa Jepun ketika pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu.
Pada 1944, ketika berusia 14 tahun, Sultan Haji Ahmad Shah dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang. Apabila peperangan tamat, baginda meneruskan pembelajaran baginda di Sekolah Clifford Kuala Lipis dan tinggal bersama orang kebanyakan di asrama sekolah. Baginda kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu.
Pada 1948, Sultan Haji Ahmad Shah meneruskan pelajaran dalam bidang Pentadbiran Awam di Worcester College, Oxford. Baginda turut masuk ke University College, Exeter, Devon bagi kursus Pentadbiran Tempatan. Ketika menduduki kursus tersebut, baginda menjalani latihan di Majlis Daerah Perbandaran di Sidmouth untuk tiga tahun.
Ketika berusia 35 tahun, Sultan Haji Ahmad Shah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Batalion Infantri Tentera Persekutuan yang berpengkalan di Kem Batu 5, Mentakab. Perkhidmatan baginda terhadap ketenteraan dan rakyat jelata membuatkan baginda dikagumi rakyat yang menyifatkan baginda putera rakyat yang amat prihatin.
Sultan Haji Ahmad Shah juga gemarkan aktiviti luar terutamanya sukan dan amat mahir dalam bidang tersebut. Baginda terkenal sebagai pemain polo yang hebat di dalam dan di luar negara.
Pada 1982, Sultan Haji Ahmad Shah telah dianugerahkan Anugerah Bola Sepak Olimpik Antarabangsa. Baginda satu-satunya orang Malaysia yang dianugerahkan anugerah berprestij itu. Bola sepak, permainan bertaraf antarabangsa, telah diberikan nafas baru apabila Sultan Haji Ahmad Shah dipilih sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia(FAM). Bawah pimpinan baginda, Malaysia berjaya memperoleh Piala Merdeka selepas 9 tahun dengan melahkan Korea Selatan 3–1 dalam masa tambahan pada 17 Februari 1993. Sultan Haji Ahmad Shah, peminat sukan nombor satu negara, telah menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia sejak tahun 1984 dan Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia. Sultan Haji Ahmad Shah juga menggemari polo, hoki, badminton dan golf. Sultan Haji Ahmad Shah turut menyertai Sukan Olimpik di Los Angeles, Seoul, Barcelona dan Atlanta.
Sultan Haji Ahmad Shah telah dilantik sebagai Sultan Pahang yang ke-5 pada 7 Mei 1974 berikutan kemangkatan ayahanda baginda DYMM Sultan Abu Bakar dan ditabalkan pada 6 Mei 1975.
Sultan Haji Ahmad Shah mengahwini Tengku Hajah Afzan binti Tengku Muhammad pada 22 April 1954. Pasangan diraja itu dikurniakan tujuh orang anak, dua orang putera dan lima orang puteri. Selepas kemangkatan Tengku Afzan pada 29 Jun 1988, Sultan Haji Ahmad Shah mengahwini Sultanah Hajah Kalsom pada 14 Mac 1991 dan dikurniakan seorang putera.
Sultan Haji Ahmad Shah telah menjadi Kelua Lembaga bagi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sejak Februari 1983.





























No comments:

Post a Comment